Cuba bilang padaku siapa manusia di dunia ini yang berjaya melepasi dunia ini tanpa pernah dihujani hujan-hujan ujian... Yang berjaya mahupun yang tidak berjaya pasti semuanya pernah disimbah hujan ujian ini. Itulah dunia.. Dunia yang sedang kita bertapak dan berinjak ini, kita tidak akan pernah terlepas daripada ujian. Namun segalanya menjadi indah jika selamanya kita mampu untuk memandang hujanan ujian ini adalah sebenarnya perancangan dari Tuhan demi untuk mentarbiyyah diri kita.
Aku juga sebagai manusia yang ditakdirkan untuk singgah di dunia ini. dibawa mengenal alam menerusi kedua ibu bapaku. sedari kecil bergenang dengan kolam kesusahan. Semua kita sebenarnya bergelut dengan ujian. Tiada siapa yang terlepas daripadanya. Jika selamanya aku memandang kepada ujian yang telah berlalu itu, aku pasti kan tiada lagi di dunia. Termakan dengan hasutan syaitan yag selalu bergolak supaya aku memisahkan jasad dan roh ini membuatkan aku menjadi lebih berani untuk bertindak.
Di kala ini, serasanya dengan nikmat ujian itu, aku perlu melafazkan rasa syukurku kepada Allah, kerana Dia lah aku masih boleh berkongsi cerita hidupku pada hari ini. Alhamdulillah Ya Allah hari demi hari aku dididik dengan ujian ini, dengannya aku sepatutnya menjadi lebih matang dalam segala aspek hidup..berfikir mahupun bertindak...bercakap mahupun diam...segalanya perlu disandarkan pada Mu yang menciptakan aku..Usahlah kalian memandang kepada ujian dan musibah itu terlalu lama, usahlah terlalu berkira dengan ujian yang dibebankan barang sekejap, kerana semua ini akan berakhir sekejapan waktu lagi..
Aku tersedar dari lamunanku yang terlalu lama, tertancap kepada tabung gula di dapur, lama lamunanku sehingga tanpa sedar air panas yang inginku bancuhkan Milo itu sudah menjadi suam-suam kuku.. Aku terleka melihat semut-semut kecil itu yang berusaha meloloskan dirinya ke dalam tabung gula. Aku kagum dengan usaha mereka.
Di kala ini aku mampu tersenyum melihat keletah semut-semut ini. Di kala lainnya, berbeza pula pandanganku kepada semut. Aku marah kepada usaha semut ini kerana mereka selalu bertamu ke dalam tabung gula sehingga menyusahkan aku untuk membancuh minuman dan menyusahkan aku untuk memilih gula yang tidak dicerobohi oleh mereka. Namun ini bukanlah salah mereka, kekadang keletah adik-adik yang masih kecil terlupa untuk menutup tabung gula, sememangnya inilah yang mengundang semut-semut untuk masuk menikmati manisnya gula sehingga kadang-kadang banyak mereka yang kutemui mati di dalamnya, terkambus dek terleka kerana manisnya gula.
Melihat situasi ini membuatkan aku marah, Marah kepada kecuaian adik kerana mereka semut ini berjaya menceroboh. Aku marah sehingga aku lupa kepada adanya ujian. Adanya pencipta ujian dan adanya ganjaran di sebalik ujian. Aku marah sehingga suatu saat Allah membuka pintu hikmah itu barang sekejapan waktu untukku melihat hikmah disebalik kematian seekor semut. Manakan tidak, gula yang telah diceroboh oleh najis cicak itu terkambus hikmahnya dengan disandarkan kematian semut-semut didalamnya. Aku bersyukur diberi peluang ini. Menyedari hakikatnya setiap sesuatu yang berlaku itu sebenarnya mempunyai hikmahnya yang tersendiri, walau kematian seekor semut sekalipun. Mereka-mereka yang berada di sekitar ujian itu hanyalah disandarkan sebagai rangka ujian yang semata-mata ditakdirkan kepada kita untuk menambahkan iman...waalhualam
Untuk diriku, aku perlu kuat untuk mempertahankan prinsip hikmah di sebalik ujian itu.. aku perlu... walau seekor semut yang mati di dalam gula itu pun aku perlu memandangnya sebagai ujian yang terselindung hikmah di sebaliknya. aku perlu agar bertambah kekuatan diriku untuk berhadapan dengan ujian-ujian cinta Ilahi idalam hidup yang sekejap ini.. Ya Allah kurniakan untuk kami kekuatan dalam berhadapan dengan segala bentuk ujianMU....
Post a Comment